Thursday, June 11, 2009

Tinta Buat Bakal Isteriku

Tinta Buat Bakal Isteriku


Walaikumussalam wrt wbt.

Buatmu,

Bakal isteriku.

Ku berterima kasih kepada angin membuai yang telah buatkan dirimu berani meluahkan isi hatimu yang begitu suci itu. Ini begitu bermakna bagiku. Ku tahu dirimu tiada niat memperkenalkan diri. Tapi ini semua telah sengaja membuatkan dikau dikenali olehku. Takdir tuhan telah mempertemukan kita berdua. Jodoh ketentuanNya kau dan aku akan disatukan.

Ku tahu diriku takkan sempurna tanpa seorang wanita yang bergelar isteri di sisi. Menjadi peneman di kala suka dan duka,susah dan senang bersama. Menjadi tempat luahan hati di kala ku kesunyian dan kesepian. Menjadi toggak kejayaan seorang lelaki dalam meneruskan perjuangan hidup menegakkan agamaMu ya Allah. Di kala Adam kesunyian Allah jadikan Hawa sebagai peneman. Naluri manusia sememangya ingin hidup berpasangan.

Ku sedar, aku bukan sehebat Sulaiman untuk mencari teman secantik Balqis. Aku bukan setampan Yusof untuk mengharap kasih setulus Zulaikha. Aku bukan seteguh Ibrahim untuk mencari teman sekuat Hajar. Aku juga bukan mendambakan hidup sesempurna Muhammad jika diriku ini tak sesempurna amalannya.


Ku hanyalah seorang makhluk daripada sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT. Ketahuilah, sebaik-baik manusia serta yang paling sempurna adalah Rasulullah SAW. Sifat makhluk itu lemah dan tidak sempurna. Aku punya banyak kelemahan dan kekurangan. Aku rasa gembira untuk berkongsi pengalaman dan masalah dengan seseorang yang bergelar isteri selagi ia membawa kebaikan dan menambahkan kesedaran kita sebagai makhluk yang naif. Bukankah suatu perkahwinan itu sunnah Rasullullah. Dan aku hendaklah memenuhi sunnahnya itu.

Sabda Rasulullah saw "Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku ia tidak termasuk golonganku" (Bukhori dan Muslim)

Sebagai bakal suamimu, begitu berat tanggungjawabku. Tanggungjawab kepada ibuku, ibumu dan kepadamu sendiri. Dalam mendidik dan membahagiakanmu serta kepada anak-anak kita nanti. Allah ada berfirman :

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (An Nisaa’: 289)

Salahkah aku untuk mencari calon terbaik dikalangan yang terbaik?

Ku akan berdosa kepada anak-anak jika ku tersalah memilih calon isteri. Aku bukanlah untuk memilih,tapi aku juga mempunyai gerak hatiku sebagai naluri lelaki dalam mencari cinta insani. Ketahuilah olehmu, ku juga berusaha sedaya mampu untuk menunduk dan mengalihkan pandanganku dari melihat kecantikan dan kelembutan seorang wanita. Tapi percayalah, ku akan sentiasa setia menanti kehadiranmu disisiku. Akan ku terimamu seadanya kamu. Aku tak kan sayang kamu tanpa ada redha dari Nya. Setiap kali lepas solatku, aku takkan lupa doa; Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Jihad seorang wanita ialah taatkan suami dan menghiaskan diri untuknya."

Wasiat Seorang Ibu Untuk Anaknya

Setelah Al Haris bin Amr, Raja negeri Kandah berkahwin dengan anak perempuan Auf bin Muhlim, di waktu utusan di raja hendak membawa pengantin perempuan untuk disampaikan kepada Raja tadi, maka ibunya berwasiat kepada anak perempuannya ini. Dia berkata:-

"Wahai anakku!

Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu

aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya,

Tetapi !

Ia sebagai peringatan untuk yang lalai

Dan pedoman kepada yang berakal.

Andai ibu-bapamu dapat memberikan segala-galanya

nescaya,

tidak perlu bagimu seorang suami

dan kau terlalu berharga bagi kami,

Tetapi !

Wanita dicipta untuk lelaki

Lelaki dicipta untuk wanita.

Berceraila kau dari ayunan buaianmu

meninggalkan teratak tempat besarmu

melangkah menuju ke alam baru

yang belum kenal

yang belum biasa

Kau milik suamimu

anggap dirimu sebagai hamba

tentunya suamimu

jadi teman yang paling setia

Bawalah wasiat dariku

sepuluh sifat

sebagai bekalan perjalanan

menuju alam bahagia

Relakan hatimu

sekadar yang ada

semoga suci hatimu

dengan taat setia

dan hulur tanganmu

tanda mahu berganding bahu

jauhkan dirimu dari

segala yang jelek

yang dihidu atau dipandang mata

juga awasi gerak lakumu

agar tidak sumbang mengguris rasa

Sembunyikan suram wajahmu

gantikan ia dengan sinar

secerah sang suria pagi

Dan badan yang semerbak harum

bermandikan bauan

mata berpasak, kening bercelak

itu menambah seri

itu membankitkan berahi

dan…………….

air cukup memada

bagi yang tiada

Jaga masa makannya

juga waktu tidurnya

kerana,

perut kosong hilang bicara

mata mengantuk hilang kesabaran di dada

Kunci mulutmu

tabahkan hatimu

badanmu terselamat

jiwa temanmu tidak terseksa

Simpan dulu kerianganmu

di kala dia berduka

pendamkan kesedihanmu

di kala dia bergembira

akibat aksi tidak senada

hilang simpatimu disebab pertama

keruh suasana disebab kedua

Hulur tanganmu……

andai kau menghulur sebelah tangan

nescaya dia menghulur kedua belah tangan

tidak cukup tangan, nyiru pula ditadahkan

Ketahuilah !

Kasihmu tiada sampai ke mana

Jika hatimu berdua tidak sejiwa

kasih kau, kasihlah dia

benci kau, bencilah dia

Allah saja yang menentukan nasibmu."

"Kau bawalah wasiatku ini, dan sampaikan salamku kepada suamimu." Beginilah ibu tadi menambah pesanan kepada anaknya. Seterusnya wanita ini telah tercapai kedudukan yang mulia di sisi suaminya. Dia telah memperolehi tujuh orang anak lelaki, yang semuanya mereka telah menjadi pemerintah negeri Yaman selepas ayah mereka. Beginilah seterusnya statusnya wanita-wanita yang memiliki kelebihan. Isteri-isteri solehah adalah :

"Yang taat jika suami memerintahnya, yang menyenangkan jika suami memandangnya, yang menjaga kehormatan diri suami dan hartanya." (Riwayat an-Nasa'i, Ahmad dan al-Baihaqi)


Tinta yang tertulis ini hanyalah pemberian daripada Allah SWT. Namun yang pasti, segala yang baik adalah daripada Nya dan yang buruk itu adalah daripada sifatku yang sememangnya lemah dan penuh dengan kekurangan. Sebenarnya aku tidak punya apa-apa kelebihan untuk dikongsikan melainkan perolehinya melalui pengalaman, pemerhatian dan mengikut perkembangan minda selari dengan perjalanan usia dan pendedahan maklumat.


Feedback dari Tinta Buat Bakal Suamiku

1 comment:

  1. insyaAllah akak try ambik seberapa banyak manfaat dari peringatan ini.. biiznilah.. doakan akak mampu jadi sebaik2 isteri solehah.. amiin

    ReplyDelete